Monday, November 3, 2014

Penjelasan Untuk Ayah

Waktu ayah sedang nazak
Aku tak mampu bisikkan syahadah ke telinga mu
Waktu mereka mengerumuni jasad mu ayah
Aku berdiri jauh dari baring mu
Melihat sambil tangan menggenggam
Geram kerana seumur hidup mu
Aku memandang mu dengan lewa
Melayan mu dengan leka
Hanya azan yang aku mampu laungkan
Kerana aku tahu kau suka akan suara azan

Waktu mereka sibuk memandikan jasadmu
Aku lihat sahaja
Kerana tika hayatmu aku tak pernah menjirus air ke tubuh mu
Sibuk dengan hal diri mu
Tinggalkan kau penuh harap
Aku yag tak ada untukmu dengan kerap

Tika tubuhmu mereka kafankan
Aku pergi makin jauh-jauh
Kerana dulu pakai mu tak pernah aku jaga
Semua hal aku buat ikut suka
Waktu kau jerih sakit
Aku tinggi suara dan tempik
Cakap tak pernah berlapik
Walau ku tahu hati mu sakit

Dan mereka sibuk kucup dahi mu
Aku masih berdiri dalam ego yang bertalu
Apa bezanya kalau yang aku kucup itu hanya jasad kaku mu
Bila dulu bibir ini tak pernah singgah pun ke dahi mu
Aku tak layak untuk beri itu semua itu pada jasad mu kini

Aku tak pinta kemaafan dari mu ayah
Kerana aku tak layak untuk kasih mu
Aku tak layak untuk cinta mu
Aku yang sering mengecewa setiap harapan mu
Dan makam mu masih tak aku kunjungi
Kerana aku tak layak untuk diri mu ayah setelah diri mu pergi